Nur-Sultan, 19 Oktober 2021 - Sejak 15 Oktober 2021 enam puluh lapan (68) kereta api dengan kargo telah tiba dari Kazakhstan ke terminal pengangkutan Hairatan, wilayah Balkh Afghanistan.
Kini, pemberian bantuan sedang dipunggah dan disimpan di gudang penyimpanan sementara wilayah Balkh, dimana lokasi terminal itu terletak.
Pihak berkuasa tempatan merancang untuk mengedarkan tepung Kazakhstani di kalangan kumpulan penduduk yang terjejas. Secara lazimnya, produk pertanian Kazakh digunakan oleh wilayah utara Afghanistan Balkh, Baghlan, Takhar dan Kunduz, serta kota Kabul.
Penghantaran bantuan kemanusiaan baru-baru ini ke Afghanistan telah disahkan ketika lawatan kerja Erzhan Kazykhan, Wakil Khas Presiden Kazakhstan, ke Kabul pada 17 Oktober 2021, di mana beliau telah bertemu dengan wakil-wakil kerajaan sementara Afghanistan, Abdul Ghani Baradar dan Amir Khan Muttaqi. Pihak Afghanistan telah mengucapkan ribuaan terima kasih ke atas bantuan kemanusiaan yang dihulurkan dan menyatakan sumbangan penting Kazakhstan terhadap usaha antarabangsa bagi membina semula Afghanistan.
Di samping itu juga, kerajaan Kazakhstan telah mencadangkan untuk memberikan vaksin QazVac yang dihasilkan secara tempatan bagi menentang COVID-19 ke Afghanistan.
Sebelum ini, Kazakhstan juga telah memberi bantuan kemanusiaan ke Afghanistan. Pada tahun 2020, sebahagian daripada usaha bagi memerangi kesan-kesan sosio-ekonomi akibat pandemik COVID-19, sebanyak 1,900 tan tepung, 4,000 liter minyak sayuran, 200,000 tin susu pekat, dan 5,000 tan pasta telah dihantar, serta khemah bagi musim sejuk, beg tidur, katil, tilam, selimut dan baju sejuk, telah diedarkan di kalangan penduduk wilayah timur Afghanistan yang terkesan daripada banjir besar di negara itu.
Pada tahun 2021, Kazakhstan telah memberikan bantuan kemanusiaan yang sama kepada Kyrgyzstan dan Tajikistan, serta mengedarkan vaksin QazVac bagi menentang COVID-19 ke Kyrgyzstan dan bekalan perubatan lain ke India.
Kazakhstan telah lama berkomitmen dalam menyumbang kepada pencegahan krisis kemanusiaan besar di Afghanistan. Seperti mana pada masa lalu, Kazakhstan telah memberikan sokongan yang besar kepada Afghanistan, termasuk program biasiswa $ 50 juta bagi mendidik 1,000 pelajar Afghanistan. Kazakhstan telah banyak menyumbang kepada warga Afghanistan, termasuk wanita dan gadis muda, yang melanjutkan pelajarannya ke peringkat tinggi.
Ketika lawatan ke Kabul, Erzhan Kazykhan juga bertemu dengan agensi PBB di Afghanistan, termasuk Puan Deborah Lyons, Wakil Khas Setiausaha Agung PBB ke Afghanistan, dan Ketua Misi Bantuan PBB ke Afghanistan (UNAMA). Mereka membincangkan isu-isu memperluas kerjasama antara Kazakhstan dan PBB dalam mengatasi krisis kemanusiaan dan makanan di Afghanistan.
Sejak Ogos 2021, pejabat sementara UNAMA dan agensi PBB lain yang diakreditasi di Afghanistan, telah dipindahkan sementara ke Almaty, berikutan permintaan ke Kazakhstan oleh PBB. Pada 20 September, PBB telah meluluskan cadangan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev, bagi mewujudkan pusat di Almaty bagi membantu rakyat Afghanistan dan mempertimbangkan penempatan semula UNAMA ke Almaty.